Khamis, 27 September 2012

Manusia & Kekufuran ...

Bismillahirrahmaanirrahiim….

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihiwasallam, dan juga kepada keluarga dan para sahabat baginda, semoga dirahmati oleh Allah dan diangkat darjat yang paling mulia bagi mereka..

Pagi ini saya agak tersentak apabila memikirkan sikap orang kita..orang Islam dan mengaku bertuhankan Allah..sama macam kita. Dan yang paling menghairankan adalah orang ‘tersebut’ mempunyai pertalian keluarga dengan kita. Di manakah silapnya apabila kecetekan ilmu dan akal menguasai pertimbangan diri? Mungkin inilah natijahnya apabila adat diletakkan melebihi syariat..

Begini kisahnya..biarlah saya gunakan bahasa kiasan bagi menglipurlarakan rentetan permulaan kisah ini supaya tidak membuka keaiban mana-mana pihak. Perkongsian ini sekadar untuk menceritakan betapa parahnya kepercayaan kepada sesuatu adat atau fahaman sehingga menyebabkan pertalian keluarga menjadi semakin jauh dan dimurkai Allah… Bagaimana dan siapakah yang bersalah, Allah Maha Mengetahui, tugas kita sebagai hamba dan khalifah, apa yang tidak benar dan salah di sisi syariat, kita perlu perbetulkan walau pahit kesudahannya…

Bermula penzahiran kalam dari ‘makcik’ kepada ‘si empunya badan itu’ akan niatnya untuk meminta ‘si empunya badan’ ini pulang ke kampong halaman.. urusannya, untuk berjumpa dengan seorang ‘pensandiwara mantera’ yang entah bagaimana layak digelar, benar atau tidak ilmu manteranya. Maka oleh itu, ‘makcik’ ini berkata kepada ‘si empunya badan’, “Jomlah kita pulang ke kampung pada hujung bulan hadapan, untuk memenuhi syarat yang dikatakan ‘pensandiwara mantera’ itu, memerlukan darah dari ibu jarimu atau apa-apa dari bekas pakaianmu..untuk menghalau ‘pencari waris’ yang ditinggalkan oleh ibumu itu… sampaikanlah hal ini kepada suamimu untuk membenarkanmu mengikuti ‘makcik’ nanti”.

Maka jawablah ‘si empunya badan’, “InsyaAllah..nanti akan saya khabarkan kepada suami saya untuk meminta keizinannya..”

Maka apabila si suami kepada ‘si empunya badan’ ini pulang dari mencari rezeki, maka disapa pula selantasnya oleh ‘si empunya badan’ dengan petahnya begini, “Wahai abang, ‘makcik’ telah mengkhabarkan bahawa ‘pencari waris’ ibuku yang telah meninggal sejak 20 tahun lalu sedang mengganggu isi rumah di kampung. Syaratnya untuk menghalau makhluk terlaknat itu adalah dengan memberikan darah ibu jariku berserta apa-apa dari bekas pakaianku kepada ‘pensandiwara mantera’ tersebut di sana nanti. Sekiranya tidak berbuat begitu, maka si ‘pencari waris’ itu nanti akan mengganggu kita sehingga bila-bila”.

Lantas si suami ini yang sememangnya mengetahui akan selok-belok penzahiran ‘pensandiwara mantera’ itu lantas menjawab, “Tidak, itu semua tidak benar. Itu adalah syirik. Adakah benar setelah 20 tahun ditinggalkan, baru kini ‘pencari waris’ itu mahu menganggu kita? Apakah benar perlu darah dari ibu jarimu diberikan untuk menghalaunya? Sedangkan, guruku pernah berkata, darah dari ibu jari adalah makanan kepada ‘pencari waris’ seumpama itu untuk mengenali tuan barunya. Dan sekiranya telah disebatikan dengan bau darah itu, maka akan lebih dekat si ‘pencari waris’ itu kepada empunya darah itu nanti. Maka sebaik-baik cara menghalaunya adalah dengan ayat-ayat suci Al-Quran dan beberapa kaedah yang dianjurkan oleh syariat, dan bukan dengan memenuhi kehendak yang diminta oleh ‘pencari waris’. Sekiranya begitu, maka kita akan dianggap tunduk kepada kehendaknya, dan inilah dinamakan syirik!”. Begitu tegas si suami member kata putus pada ‘si empunya badan’.

Maka lantas perkhabaran inilah juga yang disampaikan oleh ‘si empunya badan’ kepada ‘makcik’ itu. Tanpa berlengah, ‘makcik’ itu lantas mencapai telefonnya dan menghubungi si suami untuk kepastian. Maka beginilah apa yang diperbualkan oleh mereka.

“Adakah kamu menghalang isterimu dari mengikutiku pulang ke kampung dengan mengatakan upacara tersebut menyalahi syariat? Siapakah kamu untuk berkata demikian? Aku adalah makciknya, aku lebih tahu apa yang betul, apa yang tidak!”. Begitu keras bunyinya pertanyaan yang keluar dari ‘makcik’ yang sedang marah itu.

Lantas dibalas oleh si suami, “Bukan begitu, sekiranya benar dan tidak meragukan sudah pasti saya akan membenarkannya pulang. Namun, saya suaminya. Saya berhak menghalangnya dari berbuat demikian. Jangan bertanya siapa saya, kerana saya yang menanggung segala buruk dan baik yang akan berlaku kepadanya nanti. Memang benar ‘makcik’ lebih tahu dari saya, dan lebih lama hidup dari saya, namun pernahkah ‘makcik’ belajar tentang ilmu perubatan Islam? Pernahkah merujuk kepada alim ulama tentang apa yang betul dan apa yang salah?”.

Dengan pantas dan geramnya si ‘makcik’ menjawab,”Jika begini katamu, siap sedialah untuk menanggung padahnya nanti, kerana kamu ingkar akan arahan si ‘pensandiwara mantera’ itu!”

“InsyaAllah… jika diizinkanNya, pasti berlaku, dan jika tidak diizinkanNya, pasti takkan berlaku. Saya yakin akan apa yang saya pelajari kerana tiada mudarat melainkan dengan izin Allah juga. Ingatlah, Allah itu Maha Perkasa dan tiada apa yang akan dapat melebihi kuasaNya”, pantas dan padat dijawab oleh si suami kerana bimbang akan melukakan hati si ‘makcik’ itu tadi.

Namun, hasilnya… berbulan malahan bertahun selepas itu, hubungan mulai renggang. Tiada khabar berita, tiada kenduri kendara yang dijemput. Malahan, setiap panggilan telefon atau pesanan tidak dijawab. Begitulah betapa marahnya si ‘makcik’ itu tadi kepada ‘si empunya badan’ dan si suaminya. Maka, lantas si suami ini mengatakan kepada ‘si empunya badan’ bahawa sebagai ahli keluarga yang lebih muda, maka sebaiknya mengalah dan bertanya khabarlah kepada si ‘makcik’ walaupun hakikatnya tidak bersetuju dengan apa yang berlaku..

Begitulah apa yang berlaku.. mengapa manusia ini mudah sangat memberontak hanya kerana orang lain tidak mahu memenuhi kehendak mereka yang sebenarnya menyalahi hukum? Mengapa perlu bersandar kepada bomoh, kepada dukun yang sememangnya kita tahu tatacara perubatan mereka itu penuh dengan syak dan subahat dengan alam lain? Mengapa? Kenapa begitu dangkal pemikiran manusia ini? Mengapa tidak bertemu alim ulama dan mencari kaedah yang menepati hukum Allah?

Mungkin persoalan ini tidak akan boleh dijawab dengan tepat selagi mana manusia seperti itu wujud di atas muka bumi ini. Kerana sifat manusia, cenderung kepada nafsu dan ammarah melebihi hukum dan syariat. Sedarlah… sejauh mana atau sehebat mana kita bergantung kepada selain Allah, pasti akan lebur jua akhirnya apabila saat kematian menjelma. Kita akan menghadapi seksaan yang sagat pedih dan ketika itu, tiada yang mampu menyelamatkan kita lagi melainkan rahmat dari Allah jua, itupun bergantung kepada sejauh mana amal ibadat dan taubat yang pernah kita lafazkan di atas muka bumi sebelum itu.

Wallahu’alam….


Tiada ulasan:

Catat Ulasan