Khamis, 5 Julai 2018

'GHIBAH' dan FITNAH ....

SESUNGGUHNYA banyak dosa yang tak terasa, diantaranya adalah ghibah (mengumpat) dan fitnah.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, Rasulullah shalallahu alaihi wasallama pernah bersabda, "Tahukah 

engkau apa itu ghibah?" Para sahabat menjawab "Allah dan Rasul-Nya lah yang lebih tau"

Salah satu sahabat berkata, "Engkau menyebutkan kejelekan saudara mu yang ia tidak suka untuk didengar 

orang lain."

Baginda ditanya, "Bagaimana jika yang disebut sesuai dengan kenyataan?" Lalu Nabi Muhammad SAW 

menjawab, "Jika mengikut kenyataan, berarti engkau 'Mengghibahnya', jika tidak sesuai kenyataan bererti 

engkau telah 'memfitnahnya'."

Maka orang-orang yang melakukan perbuatan itu lah yang menjadi orang paling jahat di sisi Allah.

Bagaimanapun, dibolehkan mengumpat hanya untuk situasi-situasi di bawah sahaja :

#1 – Apabila Berlaku Penganiayaan
Sesiapa yang mendapati dirinya dizalimi dibenarkan mengumpat dan menceritakan kepada hakim tentang penganiayaan yang dilakukan ke atas dirinya.
Jika orang yang dizalimi tidak dibenarkan mengumpat, maka sukarlah untuk dia menyebut dan menerangkan tentang keburukan-keburukan si jahat untuk membuktikan kezalimannya.

#2 – Membantu Mencegah Kemungkaran
Hari ini maksiat begitu berleluasa dalam masyarakat. Sebagai muslim, kita dituntut untuk mencegahnya. Oleh itu, tidak salah bagi seseorang muslim untuk meminta pertolongan muslim yang lain bagi mencegah maksiat.
Dalam konteks ini, menceritakan keburukan si pelaku maksiat adalah dibenarkan. Tetapi, biarlah ia diceritakan kepada orang yang dipercayai dan mampu untuk menasihati si pelaku maksiat.
Contohnya seorang pelajar mengumpat sahabatnya kepada ustaz di sekolah dengan tujuan agar si ustaz mampu mencegah perilaku buruk sahabatnya.

#3 – Meminta Fatwa Atau Penerangan
Dari Aisyah r.a, katanya:
Hindon Binti Utbah, isteri Abu Sufyan masuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab baginda Rasul s.a.w: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu.Riwayat Bukhari dan Muslim
Dalam konteks ini, perbuatan Hindun yang menceritakan keburukan suaminya kepada Rasulullah adalah dibenarkan kerana beliau ingin meminta fatwa bagi menyelesaikan masalah rumahtangganya.
Dalam kata lain, tujuan asal Hindun bukanlah ingin menceritakan kekikiran suaminya dalam pemberian nafkah tetapi niat beliau ialah bertanyakan hukum.

#4 – Mengambil Sikap Berjaga-Jaga
“Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora,”
Walau di mana sekalipun kita tinggal di bumi ini, pasti kita akan menjumpai pelbagai ragam manusia yang dipenuhi kebaikan dan keburukan.
Namun, dalam berhadapan dengan keburukan, sikap berjaga-jaga sangat penting agar seseorang itu tidak mudah dianiaya atau dizalimi.
Contohnya jika kita menyebut tentang keaiban seorang pemuda yang menagih dadah kepada jiran baru kita. Hal ini perlu didedahkan supaya mereka boleh berjaga-jaga sekiranya si pemuda itu bertindak di luar batasan atau akan memudaratkan mereka.
Dalam hal ini kita tidak boleh berdiam diri kerana ianya membabitkan soal keselamatan dan keharmonian hidup berjiran.

# 5- Sebagai Tanda Pengenalan
Dalam hidup kita, ada insan yang diuji Allah dengan kekurangan yang terdapat pada fizikalnya. Contohnya tempang, pekak ataupun buta.
Dalam hal ini, tiada larangan untuk menyebut kekurangan yang terdapat pada dirinya sebagai tanda pengenalan. Begitu juga dengan panggilan yang sudah menjadi kebiasaan.
Orang yang berkenaan tidak akan marah kerana sudah mahsyur dengan gelaran tersebut. Contohnya:
Karim: “Samad, siapa yang jadi imam masa solat subuh tadi?”
Samad: “Oh! Pak Mat tempang. Awal betul dia sampai pagi tadi.”
Justeru, penggunaan ‘Pak Mat tempang’ adalah dibenarkan meskipun ia menggambarkan kekurangan fizikal beliau. Walaubagaimanapun jika ada panggilan yang lebih baik dan masih senang untuk beliau dikenali, maka panggilan itulah yang harus diutamakan.

#6 – Pelaku Maksiat Terang-Terangan
Mengumpat juga dibolehkan kepada orang yang melakukan kejahatan secara terang-terangan. Contohnya Ariel Sharon dan Bashar Al-Assad, mereka adalah antara golongan yang terang-terangan berbangga diri dengan kejahatan mereka membunuh saudara muslim kita di Palestin dan Syria.
Dalam konteks ini, keburukan mereka boleh disebarkan agar sebagai muslim, kita tidak mudah terpedaya dengan agenda musuh yang sering memerangi Islam.
Jauhilah mengumpat yang sia-sia. Mengumpat, jika tidak kena pada syarat dan keadaannya akan menghancurkan dan menjatuhkan kehormatan diri seseorang.
Natijahnya, ia akan meledakkan persengketaan dan memutuskan silaturrahim. Kerana itulah, Islam amat membenci perbuatan mengumpat. Malah, jijiknya perbuatan itu sehingga ia disamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri.

Firman Allah s.w.t bermaksud:
“Dan janganlah setengah daripada kamu mengumpat setengahnya yang lain. Apakah suka salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati, tentu kamu akan menjijiknya, bukan?”
Justeru, marilah kita bersama-sama bermujahadah untuk tidak terjebak dengan umpatan yang keji dan hina ini. Peliharalah keaiban orang lain seperti mana kita suka apabila Allah memelihara keaiban kita.

Akhir kata, hayatilah pesanan indah daripada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang menjaga diri dari mengaibkan saudaranya, maka Allah pasti akan membebaskannya dari api neraka.”Imam Ahmad

Wallahu 'alam bishawab, Semoga kita dijauhkan dari perbuatan demikian. Aamiin.

Para MU'ADZIN Di Masa Hayat RASULULLAH Sallahu 'alaihi Wasallam

Muadzin adalah pengumandang azan. Memanggil dan mengingatkan kaum muslimin telah masuk waktu solat tertentu. Syariat azan datang selepas perintah solat. Solat disyariatkan di Mekah. Sedangkan azan disyariatkan di Madinah. Artinya, ada masa yang dilalui kaum muslimin, masuk waktu solat tanpa mengumandangkan azan.

Azan disyariatkan pada tahun pertama hijrah Rasulullah ﷺ. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Abdullah bin Umar radhiallahu 'anhuma berkata,

كَانَ الْمُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلاةَ لَيْسَ يُنَادَى لَهَا فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ فَقَالَ بَعْضُهُمْ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ بُوقًا مِثْلَ قَرْنِ الْيَهُودِ فَقَالَ عُمَرُ أَوَلاَ تَبْعَثُونَ رَجُلاً يُنَادِي بِالصَّلاَةِ فَقَالَ رَسُولُ الله يَا بِلاَلُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلاَةِ
"Dulu, kaum muslimin ketika datang ke Madinah, mereka berkumpul. Mereka menganggarkan waktu solat tanpa ada yang menyeru. Hingga suatu hari, mereka berbincang-bincang tentang hal itu. Ada yang mengatakan, 'Gunakan saja loceng seperti loceng Nashara'. Dan yang lain menyatakan 'Gunakan saja trompet seperti trompet Yahudi'. Umar berkata, 'Tidakkah kalian mengangkat seseorang untuk menyeru shalat?' Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, 'Wahai, Bilal. Berdirilah dan serulah untuk solat '. "

Dari hadis ini, kita dapat mengetahui bahawa Bilal adalah muadzin Rasulullah ﷺ. Yang jadi pertanyaan, apakah hanya Bilal? Sedangkan di masa Rasulullah ﷺ, sekurang-kurangnya kaum muslimin mempunyai 3 buah masjid. Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi, dan Masjid Quba. Letaknya berjauhan sehingga tidak mungkin hanya Bilal yang menjadi muadzin Rasulullah ﷺ. Lalu siapa saja muazzin-muazzin Rasulullah?

Pertama: Bilal bin Rabah

Bilal bin Rabah merupakan orang yang pertama-tama memeluk Islam. Ia merasakan siksaan Quraisy di awal datangnya agama suci ini. Ia menjadi muadzin Rasulullah ﷺ sepanjang hidup Nabi. Dalam keadaan safar maupun mukim. Ada yang menyatakan ia sempat beberapa saat menjadi muadzin di masa Abu Bakar. Dan tentu saja pernah satu kali mengumandangkan azan di zaman Umar. Kerana para sahabat rindu dengan azannya. Dan ingin mengingat Rasulullah ﷺ.

Tentu banyak keutamaan Bilal. Banyak pula ayat-ayat Al-Quran yang turun, dan Bilal menjadi bahagian dari kandungan ayat tersebut.

Kedua: Ibnu Ummi Maktum

Namanya adalah Amr bin Qays bin Zaidah bin al-Asham. Ia memeluk Islam di Mekah. Walaupun buta, tapi Amr termasuk orang yang pertama menyambut seruan Nabi ﷺ hijrah ke Madinah.

Diriwayatkan dari jalan Ibnu Ishaq dari al-Barra, ia berkata, "Yang pertama datang kepada kami adalah Mush'ab bin Umair. Kemudian datang Ibnu Ummi Maktum. Rasulullah mengangkatnya sebagai pemimpin Madinah apabila pergi berperang. Ia mengimami masyarakat. "(Al-Ishabah fi Tamyiz ash-Shahabah, Juz: 4 Hal: 495).

Az-Zubair bin Bakar berkata, "Ibnu Ummi Maktum pergi menuju Perang Qadisiyah. Di sanalah ia syahid. Pada masa itu ia memegang bendera. "(Al-Ishabah fi Tamyiz ash-Shahabah, Juz: 4 Hal: 495).

Ibnu Ummi Maktum sama seperti Bilal, muadzin Rasulullah ﷺ di Madinah.

Ketiga: Abu Mahdzurah

Namanya adalah Aus bin Mughirah al-Jumahi. Rasulullah ﷺ memerintahkannya untuk mengumandangkan azan di Mekah sekembalinya beliau dari Hunain.

Ketika Mekah berhasil ditaklukkan kaum muslimin, Rasulullah ﷺ memerintahkan Bilal untuk mengumandangkan azan dari atas Kaabah. Sebahagian pemuda Quraisy, yang masih belum lapang dada menerima Islam, menirukan suara Bilal. Mereka marah dan bermaksud mengejek dia. Sampai salah seorang pemuda yang bernama Abu Mahdzurah al-Jumahi pun meniru-niru azan Bilal.

Abu Mahdzurah, pemuda 16 tahun, termasuk orang Quraisy yang paling merdu suaranya. Apabila ia mengangkat suara mengumandangkan azan dengan maksud ejekan, Rasulullah ﷺ mendengarnya. Nabi memanggilnya dan mendudukkannya di hadapan beliau. Abu Mahdzurah menyangka inilah akhir riwayat hidupnya kerana ulahnya itu. Tapi, Rasulullah ﷺ malah mengusap dada dan ubun-ubun pemuda itu dengan tangan beliau yang mulia. Abu Mahdzurah berkata, "Demi Allah, hatiku terasa dipenuhi keimanan dan keyakinan. Dan aku meyakini bahawa ia adalah utusan Allah. "(As-Suhaili dalam ar-Raudh al-Unfu Juz: 7 Hal: 239).

Setelah Abu Mahdzurah beriman, Rasulullah ﷺ mengajarnya azan. Jadi ia orang pertama yang mengumandakan adzan setelah Rasulullah meninggalkan Mekah menuju Madinah. Ia terus menjadi muadzin di Masjid al-Haram hingga akhir hayatnya. Kemudian dilanjutkan oleh keturan-keturunannya hingga waktu yang lama. Ada yang mengatakan hingga masa Imam asy-Syafi'i.

Keempat: Saad al-Qarazh

Saad al-Qarazh adalah mantan budak Ammar bin Yasir. Ia muadzin Rasulullah ﷺ di Masjid Quba.

Ada cerita tersendiri pada laqob al-Qarazh pada nama Saad. Diriwayatkan oleh al-Baghawi bahawa Saad pernah mengadu kepada Rasulullah ﷺ tentang sukarnya perkonomiannya. Nabi ﷺ memberi masukan agar ia berdagang. Lalu, ia pergi ke pasar dan membeli sedikit al-Qarazh (daun pokok yang boleh dibuat untuk menyamak). Kemudian ia jual lagi. Dari penjualan itu, ia mendapat keuntungan yang banyak. Ia pergi menemui Nabi ﷺ untuk mengkhabarkan hal ini. Beliau ﷺ menasihati agar ia menekuni perniagaannya.

Di zaman Rasulullah ﷺ, Saad merupakan muadzin di Masjid Quba. Pada masa pemerintahan Abu Bakar, sang Khalifah menugaskannya untuk azan di Masjid an-Nabawi. Kerana Bilal tak mau lagi menjadi muadzin setelah Rasulullah ﷺ meninggal dunia. Setelah Saad meninggal dunia, anaknya meneruskan rutin sang ayah. Mengumandangkan azan di masjid Nabi (al-Ishabah fi Tamyiz ash-Shahabah, Juz: 3 Hal: 65).

Kelima: Ziyad bin al-Harits ash-Shuda-i

Sebahagian ahli fiqh menyatakan bahawa Ziyad juga termasuk muadzin Rasulullah ﷺ. Berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnad-nya bahawa Ziyad pernah azan di hadapan Nabi ﷺ. Tapi hadis tersebut tidak sahih. Kelima nama inilah yang dikumpulkan oleh Syaikh at-Tawudi bin Saudah dalam syairnya:

عمرو بلال و أبو محذورة
سعد زياد خمسة مذكورة
قد أذنوا جميعهم للمصطفى
نالوا بذاك رتبة و شرفا

Amr, Bilal, dan Abu Mahdzurah
Saad, Ziyad, lima orang yang disebut
Semuanya berazan atas perintah al-Musthafa
Mereka mencapai darjat dan kemuliaan kerana amalan tersebut

Namun, pendapat yang -insya Allah- yang kuat, Ziyad tidak termasuk muadzin Rasulullah ﷺ. Allahu a'lam.

SABAR .........

SABAR adalah kata yang sangat sering kita dengar. Ketika teman kita ditimpa musibah, yang kali pertama dikatakan adalah kata "sabar". Kerana Allah berjanji bahawa orang-orang yang senantiasa sabar sesungguhnya akan mendapatkan kebahagiaan.

Namun, banyak orang yang menyalah ertikan kata sabar ini. Menurut sebahagian orang sabar adalah diam dengan ujian yang sedang dihadapi. Berpasrah kepada Allah tanpa berbuat apa-apa.

Semestinya kita faham bahawa intipati dari sabar itu sendiri bukanlah hanya diam atas apa yang menimpa kita. Bukankah Allah telah menjelaskan bahawa Dia hanya akan merubah suatu kaum apabila kaum itu merubah nasibnya sendiri. Termasuk ketika kita mendapat masalah.

Pasrah memanglah perlu, tapi pasrah yang seperti apakah itu? Iaitu pasrah kepada Allah beriringan dengan usaha maksimum kita kepada Allah.

Beberapa pamaham yang salah bahawa diam itu hanya sekadar berdiam diri tanpa ada perkara yang dilakukan. Sepatutnya kita tahu bahawa sedar bukan hanya berdiam diri menunggu Allah mengubah nasib kita sedangkan tak ada satu pun yang kita lakukan. Beberapa pengertian sabar di bawah ini semoga membuat anda lebih sedar akan sabar itu sendiri.

Yang pertama, sabar itu adalah menekan emosi dan keinginan. Jadi, apabila kita berkata sabar namun emosi kita masih melonjak-lonjak, sungguh itu bukanlah sabar. Sikap sabar adalah penekanan emosi dan keinginan kita dalam diri sehingga tidak terciptanya hal-hal yang tidak diingini.

Yang kedua, sabar itu adalah pengendalian diri. Dalam hal sabar, kita harus mampu mengendalikan diri kita dalam berbagai hal. Kadang-kadang, diri kita tidak terkawal kerana rangsangan negatif dari luar. Inilah pentingnya pengendalian emosi atau sabar itu sendiri.

Yang ketiga, berfikir panjang. Ketika kita ditimpa masalah kemudian harus memutuskan sesuatu, sudah seharusnya sebelum memutuskan kita berfikir panjang. Di sinilah proses sabar terjadi. Sabar bukan bererti pasrah terhadap keadaan, tapi sabar merupakan tindakan nyata kita dalam menerima ketentuan daripada Allah dengan cara berfikir panjang dalam memutuskan sesuatu.

Yang keempat, memaafkan. Sabar bererti memaafkan kesalahan orang lain. Hidup ini tidak akan pernah terlepas dari sebuah kesalahan. Kadang-kadang, kesalahan seseorang yang membuat kita sakit hati akan sukar termaafkan. Di sinilah Allah menguji tahap kesabaran kita. Apakah kita mau memaafkannya atau tetap membencinya.

Rabu, 4 Julai 2018

UPDATE LIVE : PENDAKWAAN TERHADAP DSN

SOROTAN UTAMA

  • Perbicaraan 19 hari bermula Februari tahun depan
  • Mahkamah benarkan permohonan perintah interim
  • Mahkamah tetapkan ikat jamin RM1 juta
  • Najib sedia serah geran sebagai jaminan
  • Bekas PM mohon dibicarakan
  • Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
  • Najib hadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu salah guna kuasa
Pihak polis mengarahkan kumpulan itu untuk keluar dari lobi berkenaan.
Turut kelihatan dalam kumpulan itu adalah pelakon Ellie Suriaty dan Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam.

Bicara 19 hari

12.49 tgh: Mahkamah Tinggi 3 – Perbicaraan ditetapkan selama 19 hari, iaitu pada 18-28 Februari, 4-8 Mac dan 11-15 Mac 2019.

12.35 tgh: Mahkamah Tinggi 3 – Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Ogos depan. Kekangan daripada mengulas sementara itu itu berkuat kuasa sehingga tarikh itu.
Arahan itu turut tertakluk kepada media daripada mengulas isu berkaitan empat pertuduhan terhadap Najib, selain daripada merit fakta kes.

12.25 tgh: Peguam bela utama Shafee Abdullah dan ketua pendakwaan Tommy Thomas berbalah mengenai penyerahan dokumen kes sebelum perbicaraan bermula.
Tommy berkata permintaan Shafee untuk mendapatkan dokumen sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan munasabah.
Shafee menjawab: “Jika kami dakwa dia hari ni bermakna kamu sudah sedia! Saya tak boleh bayangkan kami akan dakwa seseorang tetapi dokumen masih tidak tersedia.
“Fotostat saja dan serahkan pada kami.”
Mahkamah benarkan permohonan perintah interim.

12.10 tgh: Mahkamah Tinggi - Hakim Mahkamah Tinggi Sophian Abdul Razak membenarkan permohonan peguam bela untuk mendapatkan perintah interim (sementara).
Ini selepas peguam Shafee Abdullah memohon hakim memberikan perintah interim terhadap sebarang kenyataan yang berpotensi mempengaruhi kes anak guamnya dalam empat pertuduhan itu.
Beliau merujuk kejadian yang didakwa sebagai "perbicaraan oleh pihak media" terhadap Najib.
Pendakwa Tommy Thomas membantah permohonan itu dengan menyatakan prinsip-prinsip kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan harus dipelihara.
Beliau berkata Shafee perlu membuat permohonan rasmi dan bukan perintah interim dan pihak pendakwaan akan "menentang kuat" permohonan itu.

11.55 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi, Sophian Abdul Razak menetapkan jaminan RM1 juta untuk semua empat pertuduhan dengan dua penjamin.
Beliau juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya.
"Mahkamah berpendapat RM1 juta tunai dengan dua penjamin adalah adil dan saksama.
"Tertuduh juga perlu menyerahkan pasportnya."
Shafee Abdullah berkata anak guamnya hanya dapat membayar separuh daripada jumlah itu hari ini.
"Pada Isnin, saya akan berusaha mendapat RM500,000 lagi," peguam itu memberitahu mahkamah.

11.10am: Mahkamah Tinggi - Seorang pegawai polis memarahi mereka yang menunggu di luar bilik mahkamah kerana mengganggu prosiding.
"Jika kamu nak bercakap, bercakap di bawah," katanya.
Najib mengaku tidak bersalah

10.50 pagi: Mahkamah Tinggi -  Peguam bela utama Shafee Abdullah membantah ikat jamin yang diminta pendakwa raya dengan menyatakan jumlahnya terlalu tinggi.
"Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu meminta dari saudara-saudara mereka untuk mendapatkan wang.
"Mereka mempunyai sejumlah wang tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta."
Shafee sebaliknya meminta ikat jamin dikurangkan kepada RM500,000 hingga RM800,000, dengan dua penjamin bagi semua empat pertuduhan dan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya.
Malah, beliau menyatakan anak guamnnya bersedia menyerahkan geran rumah kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada jaminan, memandangkan semua akaun banknya telah dibekukan.

10.45 pagi: Mahkamah Tinggi - Najib mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Najib dilihat mengangguk selepas setiap pertuduhan dibacakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Tommy Thomas memohon ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

10.35 pagiMahkamah Tinggi - Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Bekas perdana menteri merekodkan pengakuan di hadapan hakim Sophian Abdul Razak.
Peguam Negara Tommy Thomas (gambar) yang mengetuai pasukan pendakwa raya, meminta supaya pertuduhan dibacakan sekali lagi kepada tertuduh sebelum pengakuannya direkodkan.
Najib berdepan hukuman penjara

10.30 pagi:  Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Najib bakal menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan.
Sekiranya disabitkan dengan tuduhan pecah amanah, Najib boleh dipenjarakan antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan kemungkinan dikenakan denda. Bagaimanapun hukuman sebat hanya dijatuhkan kepada individu di bawah umur 50 tahun dan oleh itu Najib, 64 terlepas hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

10 pagiKompleks Mahkamah, Jalan Duta - Timbul kekeliruan apabila tidak jelas di mana Najib dibawa.
Sebelum itu ditetapkan bahawa Najib dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1, yang berada di tingkat keempat.
Bagaimanapun, beliau sekarang dibawa ke Mahkamah Tinggi Jenayah 3, yang berada di tingkat lima.

Kes dibawa ke Mahkamah Tinggi

9.20 pagiMahkamah Sesyen - Peguam Negara Tommy Thomas berhasrat memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Beliau meminta agar rayuan tertuduh, Datuk Seri Najib Razak, tidak direkodkan.
Ketua peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah dengan menyatakan rayuan perlu direkodkan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi.
Najib didakwa di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin kemudian memutuskan pengakuan Najib dicatatkan di Mahkamah Tinggi.
Tommy kemudian menyerahkan sijil pemindahan untuk kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Shafee berkata beliau tidak mempunyai bantahan tetapi akan membangkitkan perkara itu di Mahkamah Tinggi sekiranya terdapat sebarang kesilapan.

Pertuduhan dibacakan

9.13 pagiMahkamah Sesyen - Pertuduhan keempat dibacakan. Beliau didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pertuduhan keempat - Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

9.09 pagiMahkamah Sesyen - Tertuduh, Najib Razak menghadapi tiga tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah.
Pertuduhan pertama - Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.
Pertuduhan kedua -  Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.
Pertuduhan ketiga - Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Feb 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

9.05 pagi- Ketua Pemuda Umno yang baru Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diberi keadilan sewajarnya.
Beliau turut mahukan mahkamah menjalankan proses perbicaraan dengan adil dan telus.
"Jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum, jangan kita aibkan dia sebelum dia dikenakan apa-apa hukuman.
"Masalahnya hari ini beliau diadili di mahkamah media bukan di kamar mahkamah sebenar," katanya kepada pemberita di lobi Kompelks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Asyraf juga berkata seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan perkara itu.
Pasukan peguam, pendakwa tiba

8.55 pagi: Mahkamah Sesyen - Shafee tiba bersama pasukan pembelaan termasuk Harvinderjeet Singh, Farhan Read, dan Farhan Shafee.

8.42 pagi: Peguam Negara Tommy Thomas tiba bersama pasukan pendakwa raya termasuk Manoj Kurup, Mohd Hanafiah Zakaria dan Mohd Ishak Yusof
Anak-anak Najib, Najwa dan suaminya Daniyar serta Ashman juga masuk ke bilik mahkamah.

8.30 pagi: Bekas perdana menteri diiringi ke bilik saksi. Isterinya, Rosmah Mansor juga dijangka hadir.
Seperti dijangka, kawalan keselamatan ketat di dalam mahkamah. Wartawan hanya dibenarkan menduduki dua bangku terakhir.
Salah seorang anak Najib dari perkahwinan pertamanya, yang dipercayai Nazifuddin, juga dilihat  berada dalam mahkamah.
Najib tiba di mahkamah

8.18 pagi: Datuk Seri Najib Razak tiba di mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dan dilihat memakai kemeja biru.
Kira-kira 50 penyokong Najib melaungkan "Hidup Najib" dan takbir "Allahuakbar"
Berlaku tolak menolak ketika Najib memasuki pintu utama mahkamah.

8.15 pagi: Peguam Rosmah, K Kumaraendran tiba di mahkamah dan memasuki bilik saksi.
Menurut sumber, difahamkan bekas perdana menteri itu akan menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah hari ini dan bukan 10 pertuduhan seperti dilaporkan lebih awal.
Terdapat satu atau dua lagi pertuduhan akan dikenakan di bawah Akta SPRM 2009.
Najib juga mungkin menghadapi pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) pada hari yang lain.

8.10 pagi: Pemimpin Umno Tun Faisal Ismail Aziz yang mengetuai himpunan solidariti terhadap Najib berbalah dengan anggota polis yang bertugas.
"Ini bukan karaoke, ini mahkamah!" kata seorang pegawai polis kepada Tun Faisal ketika beliau cuba mengajak orang ramai menyanyi lagu "Allah Selamatkan Kamu".
Tun Faisal membantah dengan mengatakan tiada halangan untuk bercakap atau menyanyi di luar lobi mahkamah tetapi pihak polis menegaskan bahawa orang ramai harus bergerak ke luar dari pintu utama.
"Di mana arrest team? Bertindak macam budak-budak," kata pegawai itu lagi.
Di kalangan orang ramai, ada yang berteriak "jangan provoke!" ke arah polis.

8.05 pagi: Bernama melaporkan kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7.37 pagi ini.
Kenderaan Proton Inspira merah yang membawa Najib diiringi enam kenderaan lain termasuk dua kereta peronda polis dan dua motosikal pengiring.

8.00 pagi: Laungan "bebas Najib" bergema di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Sekumpulan penyokong Najib melaungkan "bebas Najib" sebanyak tiga kali bagi membakar semangat sebelum ketibaan bekas perdana menteri itu.
Mereka turut menyanyikan lagu "Allah selamatkan kamu".
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Sentul R Munusamy mengarahkan mereka beredar ke luar kompleks mahkamah kerana menghalang laluan kenderaan untuk masuk.
"Jangan ganggu perjalanan mahkamah, kalau nak menyanyi di luar," katanya.

7.50 pagi: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Antara pemimpin Umno yang dilihat menunjukkan sokongan kepada Najib termasuk ketua Umno bahagian Batu Pahat Datuk Puad Zarkashi, Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad dan anggota exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai blogger Papagomo.
"Kami datang untuk menunjukkan sokongan kerana beliau (Najib) bukan sahaja bekas presiden Umno tetapi juga bekas perdana menteri kita.
"Kami mahu menunjukkan bahawa kami akan terus mempertahankannya," kata Puad kepada pemberita.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy juga dilihat berada di lobi bersama sekumpulan pegawai dan anggota polis yang lain.
Ketibaan pegawai-pegawai SPRM 

7.35 pagi: Mahkamah Sesyen - Pegawai dari SPRM kelihatan memeriksa bilik mahkamah.
Salah seorang daripada mereka dilihat membawa beg besar dan satu lagi membawa dokumen yang tebal.
Beberapa pegawai polis berpakaian biasa juga dilihat bersama mereka.

7.25 pagi: Kompleks Mahkamah, Jalan Duta - Empat trak FRU dan sebuah trak polis memasuki kompleks mahkamah.

7.35 pagi: Mahkamah Sesyen - Pegawai dari SPRM kelihatan memeriksa bilik mahkamah.
Salah seorang daripada mereka dilihat membawa beg besar dan satu lagi membawa dokumen yang tebal.
Beberapa pegawai polis berpakaian biasa juga dilihat bersama mereka.
Sementara itu, peguam terkemuka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka mengetuai pasukan peguam Najib.
Laluan ke kawasan lobi dipenuhi dengan petugas media tempatan dan antarabangsa yang menunggu ketibaan Najib.
Di tingkat atas di bilik mahkamah, wartawan juga sedang menunggu prosiding bermula.
Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka mengetuai pasukan peguam Najib.

7.05 pagiJurugambar berkumpul di lobi. Najib dijangka dibawa masuk ke lobi dan dikawal ke tingkat keempat.
Peguam Negara Tommy Thomas yang mengetuai pendakwaan dijangka mengadakan sidang akhbar selepas Najib didakwah.

7 pagi: Kumpulan sekitar 50 orang yang terdiri daripada petugas media dan yang lain-lain sudah berkumpul di kompleks mahkamah/ Mereka tiba sebelum matahari terbit.
Anggota polis turut meningkatkan kawalan dengan anjing pengesan kelihatan digunakan untuk memeriksa kenderaan yang memasuki kawasan bangunan melalui pondok utama pengawal.
Semua mata tertumpu di mahkamah

6.55 pagi: Kurang dari dua bulan selepas pilihan raya umum 9 Mei, sejarah dicatat lagi apabila bekas perdana menteri Malaysia dihadapkan ke mahkamah hari ini untuk menghadapi tuduhan jenayah.
Pentadbiran Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB apabila bekas presiden Umno itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Semua mata kini tertumpu ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di mana Najib menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Kes Najib disebut di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Datuk Zainal Abidin Kamaruddin dan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah.
Pendakwaan diketuai oleh peguam negara yang baru dilantik Tommy Thomas, manakala Najib diwakili pasukan peguam bela yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

~malaysiakini.com