SESUNGGUHNYA banyak dosa yang tak terasa,
diantaranya adalah ghibah (mengumpat) dan fitnah.
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu Anhu, Rasulullah
shalallahu alaihi wasallama pernah bersabda, "Tahukah
engkau apa itu ghibah?" Para sahabat
menjawab "Allah dan Rasul-Nya lah yang lebih tau"
Salah satu sahabat berkata, "Engkau
menyebutkan kejelekan saudara mu yang ia tidak suka untuk didengar
orang lain."
Baginda ditanya, "Bagaimana jika yang
disebut sesuai dengan kenyataan?" Lalu Nabi Muhammad SAW
menjawab, "Jika mengikut kenyataan,
berarti engkau 'Mengghibahnya', jika tidak sesuai kenyataan bererti
engkau telah 'memfitnahnya'."
Maka orang-orang yang melakukan perbuatan itu
lah yang menjadi orang paling jahat di sisi Allah.
Bagaimanapun, dibolehkan mengumpat hanya untuk situasi-situasi di bawah sahaja :
#1 – Apabila Berlaku Penganiayaan
Sesiapa yang mendapati dirinya dizalimi
dibenarkan mengumpat dan menceritakan kepada hakim tentang penganiayaan yang
dilakukan ke atas dirinya.
Jika orang yang dizalimi tidak dibenarkan mengumpat,
maka sukarlah untuk dia menyebut dan menerangkan tentang keburukan-keburukan si
jahat untuk membuktikan kezalimannya.
#2 – Membantu Mencegah Kemungkaran
Hari ini maksiat begitu berleluasa dalam
masyarakat. Sebagai muslim, kita dituntut untuk mencegahnya. Oleh itu, tidak
salah bagi seseorang muslim untuk meminta pertolongan muslim yang lain bagi
mencegah maksiat.
Dalam konteks ini, menceritakan keburukan si
pelaku maksiat adalah dibenarkan. Tetapi, biarlah ia diceritakan kepada orang
yang dipercayai dan mampu untuk menasihati si pelaku maksiat.
Contohnya seorang pelajar mengumpat sahabatnya
kepada ustaz di sekolah dengan tujuan agar si ustaz mampu mencegah perilaku
buruk sahabatnya.
#3 – Meminta Fatwa Atau Penerangan
Dari Aisyah r.a, katanya:
Hindon Binti Utbah, isteri Abu Sufyan masuk
menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan
adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup
untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya)
tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab
baginda Rasul s.a.w: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh
mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu.Riwayat
Bukhari dan Muslim
Dalam konteks ini, perbuatan Hindun yang menceritakan
keburukan suaminya kepada Rasulullah adalah dibenarkan kerana beliau ingin
meminta fatwa bagi menyelesaikan masalah rumahtangganya.
Dalam kata lain, tujuan asal Hindun bukanlah ingin
menceritakan kekikiran suaminya dalam pemberian nafkah tetapi niat beliau ialah
bertanyakan hukum.
#4 – Mengambil Sikap Berjaga-Jaga
“Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana
yang tidak bergelora,”
Walau di mana sekalipun kita tinggal di bumi ini, pasti
kita akan menjumpai pelbagai ragam manusia yang dipenuhi kebaikan dan
keburukan.
Namun, dalam berhadapan dengan keburukan, sikap
berjaga-jaga sangat penting agar seseorang itu tidak mudah dianiaya atau
dizalimi.
Contohnya jika kita menyebut tentang keaiban seorang pemuda
yang menagih dadah kepada jiran baru kita. Hal ini perlu didedahkan supaya
mereka boleh berjaga-jaga sekiranya si pemuda itu bertindak di luar batasan
atau akan memudaratkan mereka.
Dalam hal ini kita tidak boleh berdiam diri kerana ianya
membabitkan soal keselamatan dan keharmonian hidup berjiran.
# 5- Sebagai Tanda Pengenalan
Dalam hidup kita, ada insan yang diuji Allah dengan
kekurangan yang terdapat pada fizikalnya. Contohnya tempang, pekak ataupun
buta.
Dalam hal ini, tiada larangan untuk menyebut kekurangan
yang terdapat pada dirinya sebagai tanda pengenalan. Begitu juga dengan
panggilan yang sudah menjadi kebiasaan.
Orang yang berkenaan tidak akan marah kerana sudah mahsyur
dengan gelaran tersebut. Contohnya:
Karim: “Samad, siapa yang jadi imam masa solat
subuh tadi?”
Samad: “Oh! Pak Mat tempang. Awal betul dia sampai pagi tadi.”
Samad: “Oh! Pak Mat tempang. Awal betul dia sampai pagi tadi.”
Justeru, penggunaan ‘Pak Mat tempang’ adalah dibenarkan
meskipun ia menggambarkan kekurangan fizikal beliau. Walaubagaimanapun jika ada
panggilan yang lebih baik dan masih senang untuk beliau dikenali, maka
panggilan itulah yang harus diutamakan.
#6 – Pelaku Maksiat Terang-Terangan
Mengumpat juga dibolehkan kepada orang yang melakukan
kejahatan secara terang-terangan. Contohnya Ariel Sharon dan Bashar Al-Assad,
mereka adalah antara golongan yang terang-terangan berbangga diri dengan
kejahatan mereka membunuh saudara muslim kita di Palestin dan Syria.
Dalam konteks ini, keburukan mereka boleh disebarkan agar
sebagai muslim, kita tidak mudah terpedaya dengan agenda musuh yang sering
memerangi Islam.
Jauhilah mengumpat yang sia-sia. Mengumpat, jika tidak kena
pada syarat dan keadaannya akan menghancurkan dan menjatuhkan kehormatan diri
seseorang.
Natijahnya, ia akan meledakkan persengketaan dan memutuskan
silaturrahim. Kerana itulah, Islam amat membenci perbuatan mengumpat. Malah,
jijiknya perbuatan itu sehingga ia disamakan seperti memakan daging saudaranya
sendiri.
Firman Allah s.w.t bermaksud:
“Dan janganlah setengah daripada kamu mengumpat
setengahnya yang lain. Apakah suka salah seorang kamu memakan daging saudaranya
yang telah mati, tentu kamu akan menjijiknya, bukan?”
Justeru, marilah kita bersama-sama bermujahadah untuk tidak
terjebak dengan umpatan yang keji dan hina ini. Peliharalah keaiban orang lain
seperti mana kita suka apabila Allah memelihara keaiban kita.
Akhir kata, hayatilah pesanan indah daripada junjungan Nabi
Muhammad s.a.w yang bermaksud:
“Sesiapa yang menjaga diri dari mengaibkan
saudaranya, maka Allah pasti akan membebaskannya dari api neraka.”Imam Ahmad
Wallahu 'alam bishawab, Semoga kita dijauhkan
dari perbuatan demikian. Aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan