Khamis, 16 Ogos 2012

Syaitan Menyerang Manusia Melalui 10 Pintu...


Berhati-hatilah kalian semua dengan hasutan dan godaan Syaitan, kerana SYAITAN telah bersumpah dengan Allah SWT yang mereka akan berusaha menyesatkan umat manusia sehingga hari kiamat. Ini berikutan dendam selepas dilaknati Allah SWT kerana enggan `tunduk' kepada Nabi Adam as.

Berikutan itu, Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya supaya berwaspada dengan peranan syaitan seperti di dalam hadis ini: "Pada diri anak Adam itu terdapat dua gerak rasa. Satu akan terbit daripada syaitan, manakala satu lagi daripada malaikat.

Syaitan sering menyerang kita melalui 10 pintu ini....
  1. TAMAK DAN BURUK SANGKA. Lantas aku hadapi dengan sifat menaruh kepercayaan dan berada dengan apa yang ada setelah berusaha berakhir.

  2. CINTAKAN DUNIA DAN PANJANG ANGAN-ANGAN. Lantas aku menghadapinya dengan rasa takut terhadap kadatangan maut secara tiba-tiba.

  3. CINTAKAN NIKMAT DAN KEREHATAN. Lantas aku menghadapinya dengan meyakini pemberian Allah dan takutkan balasan seksa Allah.

  4. UJUB(Kagum dengan diri sendiri). Lalu aku menghadapinya dengan menyukuri nikmat pemberian Allah dan Takutkan balasaan Seksa Allah.

  5. PANDANG RENDAH TERHADAP ORANG LAIN DAN TIDAK MENGHORMATI MEREKA. Lalu aku menghadapinya dengan cara mengetahui hak-hak dan kehormatan mereka.

  6. RIAK DAN SUKAKAN PUJIAN ORANG. Lalu aku menghadapinya dengan sikap iklhas dan Tawaduk.

  7. HASAD. Lalu aku menghadapiya dengan sifat qanaah iaitu berpuas hati dengan apa yang ada setelah berusaha dan berikhtiar serta Redha di atas pemberian Allah terhadap Makhluk-Nya.

  8. BAKHIL. lalu aku menghadapinya dengan meyakini bahawa dengan ada di tangan makhluk-Nya.

  9. TAKBUR. lalu aku menghadapi dengan meyakini sifat Tawakal dan rendah Diri.

  10. TAMAK. Lalu aku menghadapinya dengan yakin terhadap balasan Allah dan tidak mengharapkan sesat yang ada pada MANUSIA.

p/s : "Wahai orang-orang muda yang masih terlena dengan keseronokan, anda mungkin merasa terlalu awal untuk hidup serius. Anda merasa lebih baik berseronok dahulu sebelum bertaubat dan menukar gaya hidup. Benarkah hati anda pernah merasa puas setelah pergi berseronok di mana-mana??"

Keistimewaan Wanita Menurut Kacamata Islam


Ramai yang tidak tahu bahawa ada beberapa pekara yang telah tercatit dalam hadis yang mengisahkan perbezaan darjat kaum wanita dan lelaki. Perbezaan-perbezaan ini yang menaikan darjat kaum wanita.Ciri-ciri tersebut disenaraikan di bawah ini :-

  1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

  2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dlm rahimnya,maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dgn 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

  3. Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin,maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

  4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak,keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkanya.

  5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

  6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

  7. Barangsiapa yang mengembirakan akan perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah akan diharamkan api neraka keatas tubuhnya.

  8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makan dari pasar ke rumah)lalu diberikan kepada keluarganay, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

  9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama,maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun)

  10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

  11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

  12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?? Jawab Rasulullah,"Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

  13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

  14. Wanita yang taat akan suaminya, ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

  15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga.Masuklah dari mana? mana pintu yang di kehendaki dengan tidak dihisab.

  16. Syurga itu dibawah tapak kaki ibu.

  17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

  18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

  19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Jadi, janganlah sesekali kita merasa lemah.wanita sebenarnya yang membuat seseorang lelaki itu kuat. Itulah salah satu sebab mengapa Nabi meletakan wanita setaraf pada lelaki dan tidak lebih rendah.

- Wallahu'alam..... 

Dunia Biarlah Seimbang Dengan Akhirat..


Khalifah - Bermulanya Amanah Di Dalam Keluarga


Khalifah – secara harfiyah membawa maksud “Pengganti”atau “Wakil”, iaitu pemimpin ummat Islam setelah kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasallam. Mereka digelar Khalifah Allah (Perwakilan Allah) dan Khalifah Rasulullah (Pengganti Utusan Allah – sebagai penyambung kepimpinan, bukan sebagai utusan yang baru).

Itu adalah tafsir atau makna yang dibawa oleh perkataan “Khalifah” yang mungkin sebahagian besar daripada kita umat Islam telah sedia maklum akannya. Hatta kanak-kanak yang baru menjejakkan kaki ke sekolah pun pastinya sudah biasa mendengar kalimah ini. Baiklah, untuk entri saya pada kali ini, bukanlah untuk berbicara atau mengulas Khalifah seperti di atas. Tetapi adalah untuk merungkai sedikit pengetahuan yang tidak seberapa di dalam dada ini kepada maksud “Khalifah – Bermulanya Amanah Di Dalam Keluarga”.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang suci, iaitu :



Maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)

Mungkin ramai yang pernah membaca atau mendengar maksud firman Allah ini kan? Dalam konteks pembinaan manusia sejagat khususnya ummat Islam yang cemerlang dan diredhai Allah, pastinya pemupukan iman dan akidah itu bermula dari rumah. Ini bermakna institusi keluarga yang asas itu adalah sebagai akar untuk ‘pohon ummah’ kekal tumbuh dengan lebih kukuh dan tinggi. Pasti anda setuju dengan kenyataan ini bukan?

Baiklah, mari kita kupas mengapa keluarga itu adalah asas pembentukan jatidiri seseorang insan. Mari kita renungi asal-usul kelahiran manusia di atas dunia ini. Pastinya semua tahu bahawa dalam hukum Islam telah menetapkan bahawa setiap kelahiran bayi di dunia ini perlu disambut dengan kalimah Takbir (azan atau iqamah) yang mana menandakan bahawa telah wujud sebuah nyawa dan roh baru ke dunia ini dengan izin dan kekuasaan Allah. Siapakah yang ditugaskan untuk melaksanakan azan atau iqamah ke telinga bayi tersebut? Sudah tentunya bapa bayi itu bukan? Maka, bukankah sejak dari detik itu bapalah juga yang bertanggungjawab untuk mendidik, mengasuh, menjaga, membelai dan melindungi si anak itu? Tetapi dimanakah ibu? Ibu juga pasti ada peranannya. Peranan ibu menyusukan, membelai, memberi kasih sayang, mengasuh dari sudut rohani atau bicara secara kasih sayang dan juga mendoakan kesejahteraan dan keselamatan si anak itu.

Jadi, adalah jelas di sini bahawa pembentukan ummah yang juga lahir dari setiap individu Muslim di dunia ini ditunjangi oleh peranan bapa dan ibu. Apabila dikatakan bapa sebagai ketua keluarga, maka secara automatiknya bapa adalah Khalifah terhadap seluruh isi keluarga tersebut. Ibu pula berperanan sebagai penyokong atau penguat secara rohani dan mental kepada Khalifah itu tadi. Siapa yang ditadbir di dalam institusi keluarga ini? Pastilah anak-anak dan ibu itu sendiri, kerana beban amanah sebagai Khalifah ke atas bapa itu tadi tidak akan selesai sehinggalah beliau mengadap Allah Azzawajalla nanti. Tidak terkecuali juga, Khalifah itu bertanggungjawab ke atas dirinya juga dari sudut mendidik peribadi yang mulia agar menjadi contoh dan ikutan yang baik bagi seluruh isi keluarga yang dipimpinnya itu.

Apabila telah terwujud bapa sebagai pemimpin keluarga, bukanlah bermakna isteri atau pembantu itu tadi terlepas daripada tanggungjawab memimpin. Isteri juga perlu memimpin sekadar di ruang kewajipannya. Iaitu antaranya menegur anak-anak untuk kebaikan, menegur suami untuk kebaikan, memastikan kelancaran keluarga yang ditadbir oleh suami/bapa (Khalifah) dengan cara memperbetulkan apa yang silap dan kurang. Itulah sebabnya Islam menerapkan Adam dan Hawa itu saling melengkapi. Tanpa isteri, suami tidak akan mampu menjadi khalifah yang terbaik dan begitu juga sebaliknya. Saling melengkapi itu tuntutan fitrah yang dijadikan oleh Allah ke atas setiap hati dan naluri manusia.

Cubalah kita susuri sirah baginda jujungan mulia kita, Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihiwasallam. Baginda sesungguhnya amat kuat dan tegar melawan asakan kaum musyrikin Quraisy di era awal dakwah baginda di bumi Mekah. Di sisi baginda adalah wanita teragung yang paling baginda sayang ketika itu sehingga akhir hayatnya iaitu Saidatina Khadijah Radiallahu ‘anha. Segala perit dan jerih perjuangan baginda, dicerca, ditohmah dan diseksa secara zahir dan batin ketika itu hanya mampu difahami dan ditenteramkan oleh isteri baginda tersebut selain daripada Allah sebagai tempat baginda mengadu. Betapa indahnya kehadiran Saidatina Khadijah Radiallahu ‘anha yang ditakdirkan Allah kepada baginda, kerana itulah baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasallam sehingga satu tahap teramat sedih ketika menatapi jasad isteri tercinta itu di saat dia dipanggil mengadap Allah Rabbul Jalil.

Begitulah sinonimnya kehadiran seorang isteri di sisi suami. Begitu juga anak-anak. Seri rumahtangga dan halatuju si khalifah keluarga akan semakin jelas dan padu dengan bantuan dan sokongan isteri serta anak-anak ini. Cuba kita bayangkan sekiranya isteri dan anak-anak tidak menghormati bapa atau tidak mempedulikan apapun peranan bapa. Pastinya semangat perjuangan bapa dalam mencari redha Allah akan tersekat, minda akan jadi bercelaru dan jiwa menjadi lemah. Dan mungkin hasilnya, peranan khalifah itu akan berkubur dan menjerumuskan rumahtangga itu ke arah kehancuran. Dan pastinya pembentukan ummah yang kita sebut di awal topic ini tadi tidak akan terlaksana mengikut acuan yang digariskan oleh Islam.

Sedarlah wahai manusia, setiap dari kita adalah pemimpin ke atas diri kita sendiri. Kita wajib memandu hati dan iman kita ke jalan yang benar. Ini tuntutan Islam. Ini adalah kehendak Allah, pencipta kita. Ingkar untuk melaksanakannya bermakna ingkar kepada pencipta. Dan seperti persisnya hukum dunia, setiap yang ingkar kepada pemerintah sekalipun akan dihukum, apatah lagi manusia yang ingkar dengan Tuhannya. Pastilah lebih layak untuk dihukum. Mengapa jiwa kita seringkali wujud protes di dalamnya? Mengapa? Kita tanyalah hati kita, dengan pemikiran yang waras dan berpandukan norma-norma akidah Islam maka kita akan dapat jawapannya.

Memimpin akan lebih indah dan bermakna andai pihak yang dipimpin taat dan menyokong dengan sepenuh jiwa. Malah yang dipimpin juga akan terasa keindahan dan kenikmatannya andai yang memimpin tahu dan melaksanakan segala amanah berlandaskan fitrah yang ditetapkan oleh Allah. Ketahuilah, setiap daripada khalifah di dalam rumahtangga itu akan menjawab segala persoalan dari Allah Azzawajalla kelak di Mahsyar. Ketika itu tiada lagi dolak dalih dan tiada lagi serah menyerah tugas. Hanya soalan dan jawapan yang pastinya akan menjadi agenda pertimbangan amal masing-masing. Dan ingatlah juga wahai isteri dan anak-anak, jika kamu sayangkan pemimpinmu itu, maka bantu dan sokonglah mereka untuk terus mentaati Allah dan terus membimbingmu ke jalanNya. Jangan sekali-kali memberatkan mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya. Ketahuilah, kita semua akan dapat diketemukan oleh Allah di syurga kelak andainya kita semua berpeluang untuk memasuki syurga Allah hasil dari taatnya kita sebagai sebuah keluarga terhadap perintah Allah.


Wallahu’alam... segala ilmu dan kebaikan adalah milik Allah jua dan kekurangan dalam mengupas tajuk ini adalah dari kelemahanku jua..sesungguhnya aku juga dalam perjalanan mencari redhaMu wahai Allah... wassalam.... - Halif Ahmad Al-Haj


Epilog Seorang Hamba Terhadap Penciptanya


Bismillahhirrahmaanirrahim….

Dengan Nama Allah, Tuhan Seru sekelian alam, di tanganNya nyawa dan roh setiap makhluk, di tanganNya kudrat dan ketentuan makhluk-makhluk ciptaanNya, di sisiNya jualah tempat kembali semua hamba dan makhluk ciptaanNya.. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasallam, kekasih Allah yang mulia, tiada Nabi dan Rasul sesudah baginda, makhluk paling sempurna di sisi Allah, semoga berkat dan Rahmat Allah sentiasa dilimpahkan ke atas baginda dan semoga syafaat baginda ke atas aku, ibubapaku, isteri dan anak-anakku, sahabat dan rakan-rakanku, serta seluruh para muslimin dan muslimat yang menyayangi baginda dan mentaati ajaran dan seruan baginda kerana Allah…

Mungkin sudah terlewat untuk aku memulakan ruangan ini, kerana Ramadhan Al-Mubarak sudah hampir di penghujungnya.. Aku sudah disibukkan dengan urusan dunia yang kurang bermanfaat dan oleh itu kelekaan yang telah berlaku sedikit sebanyak membuatkan hati rasa terlalu rugi apabila kesedaran hanya muncul di penghujung Penghulu Segala Bulan ini. Ada banyak perkara yang seharusnya aku tangisi, dan sewajibnya aku tangisi sebenarnya.. bukan hanya kealpaan dan kelekaan diri yang serba lemah ini, namun kerana tiada daya upaya memupuk kejituan iman di dalam hati yang semakin lama semakin pudar seolah-olah kejahilan sudah mengambil tempat sebagai pengganti.

Benarlah Ramadhan itu, sepuluh di awalnya adalah Rahmat, benarlah jua sepuluh selepasnya adalah Maghfirah (keampunan) dan benar jualah sepuluh di akhirnya adalah Pembebasan Dari Api Neraka (Itqum Minannaar). Sayu tiba-tiba hati apabila pagi tadi menonton rancangan Tanyalah Ustaz di TV9.. kupasan-kupasan tentang tajuk “Jangan Mengundang Kemurkaan Allah” sungguh menyentuh jiwa yang pernah keras dan kering ini. Sesungguhnya apabila direnung-renungkan, diri terasa teramat-amat kerdil di hadapan penghakiman Allah nanti di padang Mahsyar. Di kala itu, walau sekuat mana hati menjerit minta dilepaskan kembali ke dunia, namun idak lagi berguna. Di kala itu, walau sedalam mana azam untuk memperbetulkan segala kesilapan yang pernah dilakukan sebelum itu di dunia, namun yang pasti semuanya hanyalah akan tinggal azam sahaja.

Di saat itu nanti, mulut tidak mampu bersuara, bibir hanya melekap antara atas dan bawah, apa yang bertugas untuk ‘menelanjangi’ hanyalah tangan, kaki, telinga, hidung, perut, dan segala anggota lain yang tidak pernah bersuara selama di hidup di atas dunia. Dulunya mata tidak pernah redha apabila dipaksa melihat kemaksiatan, dulunya hidung tidak pernah redha menghidu bauan yang diharamkan, dulunya telinga tidak pernah redha mendengar bisikan dan ungkapan serta dendangan yang merosakkan, dulunya tangan tidak redha memegang sesuatu yang bukan miliknya, dulunya kaki tidak redha melangkah ke tempat-tempat larangan, dulunya perut tidak redha menjadi ruang menerima makanan dan minuman yang haram di dalamnya, namun di Mahsyar nanti mata, hidung, telinga, tangan, kaki dan perut menjadi saksi merungkai kesemua apa yang dulunya tidak mereka redhai.

Sebagai manusia, tidak boleh tidak, untuk mengatakan bahawa diri tidak pernah memikirkan azab dari Allah kelak. Cuma runtunan nafsu yang terlalu kuat selalunya membutakan mata dan memekakkan telinga dari memikirkan itu semua. Sebelum mata terlelap di kala malam, jiwa yang serba dhaif dan lemah ini tetap jua terlintas akan semua itu. Takut, resah, gelisah, panik dan risau adalah tetamu utama di kala itu. Manakan tidak, diri ini sememangnya belum cukup untuk mengatakan bersedia untuk bertemu Allah.

Ramdhan.. Ramadhan.. Ramadhan..

Hadirmu sedikit sebanyak membuka mata hati ini yang sebelumnya lalai dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap Khaliq diri ini. Permulaan kehadiranmu dirasakan seperti beban yang cukup berat untuk diterima. Namun setelah engkau hadir sepertiga waktu, hati ini tiba-tiba sedar dan bangkit untuk menyatakan diri ini rindu padamu.. Mungkin tiada kata-kata yang mampu menzahirkan apa yang tersirat, namun beberapa peristiwa yang telah Ramadhan titipkan di awal kehadirannya di dalam kehidupanku telah membuka mata hatiku ini kembali. Hakikatnya tiada yang lain mampu memberi kebahagiaan dan makna sebenar kehidupan melainkan dengan cara taqarrub kepada Allah Yang Maha Esa.

“Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang” … (Surah Ar-Raad : 28)

“Ya Allah Ya Tuhan Kami yang Maha Mengetahui, sesungguhnya hanya Engkau yang tahu apa yang tersirat di dalam hati-hati kami, hanya Engkau yang berkuasa menentukan jalan hidup yang terbaik bagi kami, sesungguhnya kami ini hambaMu yang serba lemah dan tidak berdaya wahai Allah. Maka, dengan kasih sayangMu yang tidak bertepi itu, Engkau hadirkanlah sinar kebahagiaan di dalam hati-hati kami ini dengan mengingatiMu dan menuruti segala perintahMu.”

“Berilah kami kekuatan untuk beribadat kepadaMu, hindarkanlah kami dari perbuatan yang keji dan dosa, kuatkanlah hati kami dalam mentaatiMu dan RasulMu, lembutkanlah jiwa kami dalam menerima nasihat dari orang-orang yang lebih alim dan mulia daripada kami, sesungguhnya tiada yang lain kami cari melainkan keredhaanMu wahai Allah pencipta kami semua.”

“Ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah, sama ada kami sedar atau tidak, sama ada atas sebab kejahilan kami atau atas sebab kami sengaja Ya Allah, kerana kami ini lemah dalam menahan godaan syaitan dan nafsu. Ampunilah ibubapa kami Ya Allah, berkatilah dan lindungilah hidup mereka di dalam rahmatMu sepertimana mereka mengasihi kami semasa kami kecil wahai Allah. Tempatkanlah ibubapa kami di kalangan hambaMu yang soleh dan solehah.”

“Ya Allah Ya Tuhan kami, ampunilah dosa isteri-isteri kami, campakkanlah ketenangan di dalam hati mereka untuk merasa tenang dan sejuk apabila bersama kami Ya Allah, tunjukkanlah isteri-isteri kami akan cara mentaati kami wahai Allah, semoga dengan itu mereka akan mendapat ganjaran syurgaMu dan seterusnya bertemu dengan kami nanti di sana wahai Allah.. sesungguhnya isteri yang solehah adalah keinginan kami untuk menyokong kami mentaatiMu wahai Allah. Begitu juga anak-anak kami, Engkau limpahkanlah rahmatMu ke atas mereka. Berilah mereka petunjuk agar mereka kenal kehidupan ini dengan cara yang Engkau redhai Ya Allah. Jauhkanlah mereka dari sifat takbur, dengki dan sifat-sifat mazmumah yang Engkau cela wahai Allah. Sesungguhnya tiada daya kekuatan bagi kami untuk mendidik anak-anak kami melainkan dengan kekuatan yang Engkau berikan wahai Allah, Tuhan yang kami sembah dengan sepenuh-penuh jiwa dan nyawa.”

“Selawat dan salam akhirnya untuk Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasalam, keluarga dan sahabat baginda yang mulia. Berkatilah doa kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar dan Mengkabulkan doa hamba-hambaMu wahai Allah.. amiin.. Ya Rabbal ‘Alamiin.. “


>>  Wahai Allah, aku memerlukan pertolonganMu untuk menetapkan hatiku untuk terus istiqamah pada jalan ini...