Khalifah – secara harfiyah membawa maksud “Pengganti”atau
“Wakil”, iaitu pemimpin ummat Islam setelah kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasallam. Mereka digelar
Khalifah Allah (Perwakilan Allah) dan
Khalifah Rasulullah (Pengganti Utusan
Allah – sebagai penyambung kepimpinan, bukan sebagai utusan yang baru).
Itu adalah tafsir atau makna yang dibawa oleh perkataan “Khalifah” yang
mungkin sebahagian besar daripada kita umat Islam telah sedia maklum akannya.
Hatta kanak-kanak yang baru menjejakkan kaki ke sekolah pun pastinya sudah
biasa mendengar kalimah ini. Baiklah, untuk entri
saya pada kali ini, bukanlah untuk berbicara atau mengulas Khalifah seperti di
atas. Tetapi adalah untuk merungkai sedikit pengetahuan yang tidak seberapa di
dalam dada ini kepada maksud “Khalifah – Bermulanya Amanah Di Dalam Keluarga”.
Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang suci, iaitu :
Maksudnya
:
“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)
“Wahai orang-orang yang beriman ! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim : 6)
Mungkin ramai yang pernah membaca atau mendengar maksud firman Allah ini kan? Dalam konteks pembinaan manusia sejagat khususnya ummat Islam yang cemerlang dan diredhai Allah, pastinya pemupukan iman dan akidah itu bermula dari rumah. Ini bermakna institusi keluarga yang asas itu adalah sebagai akar untuk ‘pohon ummah’ kekal tumbuh dengan lebih kukuh dan tinggi. Pasti anda setuju dengan kenyataan ini bukan?
Baiklah, mari kita kupas mengapa keluarga itu adalah asas pembentukan
jatidiri seseorang insan. Mari kita renungi asal-usul kelahiran manusia di atas
dunia ini. Pastinya semua tahu bahawa dalam hukum Islam telah menetapkan bahawa
setiap kelahiran bayi di dunia ini perlu disambut dengan kalimah Takbir (azan
atau iqamah) yang mana menandakan bahawa telah wujud sebuah nyawa dan roh baru
ke dunia ini dengan izin dan kekuasaan Allah. Siapakah yang ditugaskan untuk
melaksanakan azan atau iqamah ke telinga bayi tersebut? Sudah tentunya bapa
bayi itu bukan? Maka, bukankah sejak dari detik itu bapalah juga yang
bertanggungjawab untuk mendidik, mengasuh, menjaga, membelai dan melindungi si
anak itu? Tetapi dimanakah ibu? Ibu juga pasti ada peranannya. Peranan ibu menyusukan,
membelai, memberi kasih sayang, mengasuh dari sudut rohani atau bicara secara
kasih sayang dan juga mendoakan kesejahteraan dan keselamatan si anak itu.
Jadi, adalah jelas di sini bahawa pembentukan ummah yang juga lahir dari
setiap individu Muslim di dunia ini ditunjangi oleh peranan bapa dan ibu.
Apabila dikatakan bapa sebagai ketua keluarga, maka secara automatiknya bapa
adalah Khalifah terhadap seluruh isi keluarga tersebut. Ibu pula berperanan
sebagai penyokong atau penguat secara rohani dan mental kepada Khalifah itu
tadi. Siapa yang ditadbir di dalam institusi keluarga ini? Pastilah anak-anak
dan ibu itu sendiri, kerana beban amanah sebagai Khalifah ke atas bapa itu tadi
tidak akan selesai sehinggalah beliau mengadap Allah Azzawajalla nanti. Tidak
terkecuali juga, Khalifah itu bertanggungjawab ke atas dirinya juga dari sudut
mendidik peribadi yang mulia agar menjadi contoh dan ikutan yang baik bagi
seluruh isi keluarga yang dipimpinnya itu.
Apabila telah terwujud bapa sebagai pemimpin keluarga, bukanlah bermakna
isteri atau pembantu itu tadi terlepas daripada tanggungjawab memimpin. Isteri
juga perlu memimpin sekadar di ruang kewajipannya. Iaitu antaranya menegur
anak-anak untuk kebaikan, menegur suami untuk kebaikan, memastikan kelancaran
keluarga yang ditadbir oleh suami/bapa (Khalifah) dengan cara memperbetulkan
apa yang silap dan kurang. Itulah sebabnya Islam menerapkan Adam dan Hawa itu
saling melengkapi. Tanpa isteri, suami tidak akan mampu menjadi khalifah yang
terbaik dan begitu juga sebaliknya. Saling melengkapi itu tuntutan fitrah yang
dijadikan oleh Allah ke atas setiap hati dan naluri manusia.
Cubalah kita susuri sirah baginda jujungan mulia kita, Nabi Muhammad
Sallallahu ‘Alaihiwasallam. Baginda sesungguhnya amat kuat dan tegar melawan
asakan kaum musyrikin Quraisy di era awal dakwah baginda di bumi Mekah. Di sisi
baginda adalah wanita teragung yang paling baginda sayang ketika itu sehingga
akhir hayatnya iaitu Saidatina Khadijah Radiallahu ‘anha. Segala perit dan
jerih perjuangan baginda, dicerca, ditohmah dan diseksa secara zahir dan batin
ketika itu hanya mampu difahami dan ditenteramkan oleh isteri baginda tersebut
selain daripada Allah sebagai tempat baginda mengadu. Betapa indahnya kehadiran
Saidatina Khadijah Radiallahu ‘anha yang ditakdirkan Allah kepada baginda,
kerana itulah baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihiwasallam sehingga satu tahap
teramat sedih ketika menatapi jasad isteri tercinta itu di saat dia dipanggil
mengadap Allah Rabbul Jalil.
Begitulah sinonimnya kehadiran seorang isteri di sisi suami. Begitu juga
anak-anak. Seri rumahtangga dan halatuju si khalifah keluarga akan semakin
jelas dan padu dengan bantuan dan sokongan isteri serta anak-anak ini. Cuba
kita bayangkan sekiranya isteri dan anak-anak tidak menghormati bapa atau tidak
mempedulikan apapun peranan bapa. Pastinya semangat perjuangan bapa dalam
mencari redha Allah akan tersekat, minda akan jadi bercelaru dan jiwa menjadi
lemah. Dan mungkin hasilnya, peranan khalifah itu akan berkubur dan
menjerumuskan rumahtangga itu ke arah kehancuran. Dan pastinya pembentukan
ummah yang kita sebut di awal topic ini tadi tidak akan terlaksana mengikut
acuan yang digariskan oleh Islam.
Sedarlah wahai manusia, setiap dari kita adalah pemimpin ke atas diri
kita sendiri. Kita wajib memandu hati dan iman kita ke jalan yang benar. Ini
tuntutan Islam. Ini adalah kehendak Allah, pencipta kita. Ingkar untuk melaksanakannya
bermakna ingkar kepada pencipta. Dan seperti persisnya hukum dunia, setiap yang
ingkar kepada pemerintah sekalipun akan dihukum, apatah lagi manusia yang
ingkar dengan Tuhannya. Pastilah lebih layak untuk dihukum. Mengapa jiwa kita
seringkali wujud protes di dalamnya? Mengapa? Kita tanyalah hati kita, dengan
pemikiran yang waras dan berpandukan norma-norma akidah Islam maka kita akan
dapat jawapannya.
Memimpin akan lebih indah dan bermakna andai pihak yang dipimpin taat
dan menyokong dengan sepenuh jiwa. Malah yang dipimpin juga akan terasa
keindahan dan kenikmatannya andai yang memimpin tahu dan melaksanakan segala
amanah berlandaskan fitrah yang ditetapkan oleh Allah. Ketahuilah, setiap
daripada khalifah di dalam rumahtangga itu akan menjawab segala persoalan dari
Allah Azzawajalla kelak di Mahsyar. Ketika itu tiada lagi dolak dalih dan tiada
lagi serah menyerah tugas. Hanya soalan dan jawapan yang pastinya akan menjadi
agenda pertimbangan amal masing-masing. Dan ingatlah juga wahai isteri dan anak-anak,
jika kamu sayangkan pemimpinmu itu, maka bantu dan sokonglah mereka untuk terus
mentaati Allah dan terus membimbingmu ke jalanNya. Jangan sekali-kali
memberatkan mereka dengan perkara yang tidak sepatutnya. Ketahuilah, kita semua
akan dapat diketemukan oleh Allah di syurga kelak andainya kita semua
berpeluang untuk memasuki syurga Allah hasil dari taatnya kita sebagai sebuah
keluarga terhadap perintah Allah.
Wallahu’alam... segala ilmu dan kebaikan adalah milik Allah jua dan
kekurangan dalam mengupas tajuk ini adalah dari kelemahanku jua..sesungguhnya aku juga dalam perjalanan mencari redhaMu wahai Allah... wassalam.... - Halif Ahmad Al-Haj

Tiada ulasan:
Catat Ulasan